Bustannulfaizin

Perjuangan ini menuntut pengorbanan

WALA' DAN BAI'AH

Wala’

Tidak ada satu kalimah dalam bahasa Melayu yang dapat mengungkapkan secara keseluruhan makna wala’. Secara tepatnya kalimah wala’ terangkum di dalamnya beberapa pengertian iaitu;

1. Memberikan kasih-sayang
2. Memberikan ta’at-setia yang tidak berbelah-bagi
3. Mengangkat sebagai pemimpin,
4. Menjadikannya sebagai teman-rapat atau sekutu,
5. Memberi kepercayaan,
6. Tempat mencurahkan bantuan dan pertolongan

Allah berfirman;

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَ رَسُوْلُهُ وَ الَّذِيْنَ آمَنُوْا الَّذِيْنَ يُقِيْمُوْنَ الصَّلاَةَ وَ يُؤْتُوْنَ الزَّكَاْةَ وَ هُمْ رَاْكِعُوْنَ وَ مَنْ يَتَوَلَّى اللهَ وَ رَسُوْلَهُ وَ الَّذِيْنَ آمَنُوْا فَإِنَّ حِزْبَ اللهِ هُمُ الْغَاْلِبُوْنَ

“Sesungguhnya orang yang harus kamu berikan wala’ kamu kepada mereka hanyalah Allah, RasulNya dan orang-orang beriman yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka tunduk-patuh (kepada hukum-hakam Allah). Dan sesiapa yang memberikan wala’nya kepada Allah, Rasul dan orang-orang beriman, maka sesungguhnya golongan (yang mendokong agama) Allah itulah yang pasti menang”. (al-Maidah: 55)

Dalam ayat di atas, Allah menegaskan bahawa wala’ dari seorang muslim hanya boleh diberikan kepada tiga golongan iaitu;

1. Allah
2. Rasulullah
3. Mukminin (orang-orang beriman)

Namun tidak semua orang yang mengaku beriman harus diberikan wala’ kepada mereka. Ini kerana Allah mengikatnya dengan tiga syarat iaitu;
1. Yang menunaikan solat,
2. Yang mengeluarkan zakat,
3. Yang tunduk-patuh kepada Syari’at Allah.

Dalam suasana hari ini, wala’ kepada orang-orang beriman secara umumnya merangkumi beberapa pengertian;

1. Wala’ kepada kelompok orang-orang beriman iaitu memberi kesetiaan kita kepada ummah mukminin. Contohnya; dalam pertembungan antara kuasa Islam dan kuffar hari ini, jiwa, perasaan dan hati-sanubari kita adalah bersama dengan kelompok beriman walau di mana saja mereka.

2. Wala’ kepada jama’ah atau kelompok orang beriman yang memperjuangkan Islam iaitu dengan menyertai jama’ah tersebut dan menjadi sebahagian dari anggotanya.

3. Menta’ati pemimpin Islam yang menta’ati Allah sama ada pemimpin umum sekelian kaum muslimin (iaitu Khalifah) atau pemimpin jama’ah yang menerajui gerakan Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w.;

ثلاثة لا تسأل عنهم: رجل فارق الجماعة وعصى إمامه ومات عاصيا، وأمة أو عبد أبق من سيده فمات، وامرأة غاب عنها زوجها وقد كفاها مؤونة الدنيا تزوجت بعده، فلا تسأل عنهم

“Tiga golongan jangan engkau bertanya tentang mereka (kerana mereka termasuk dalam orang-orang yang bakal musnah) iaitu;

1. Orang yang berpisah dengan jamaah dan menderhakai imamnya serta mati dalam maksiat,

2. Hamba perempuan atau lelaki yang lari dari tuannya lalu menemui kematian,

3. Seorang perempuan yang suaminya keluar bermusafir dan telah dicukupinya biaya keduniaannya lalu ia bertabarruj sesudahnya (untuk menarik perhatian lelaki lain).

(Riwayat Imam at-Thabrani, al-Hakim dan al-Baihaqi dari Fadhalah bin ‘Abid r.a.)

Bai’ah

Bai’ah bermaksud perjanjian atau sumpah setia untuk menyatakan kesediaan untuk selalu mematuhi dan setia dengan janji yang diikrarkan. Contoh bai’ah yang berlaku semasa Rasulullah s.a.w.;

1. Bai’ah ar-Ridhwan
2. Bai’ah ‘Aqabah (pertama dan kedua)

Setelah kita meyakini pemimpin kita dengan menepati konsep wala’ yang ditetapkan oleh Syara’ tadi, maka wajib kita memberi bai’ah kepadanya sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Secara langsung ialah dengan melafazkan ikrar kesetiaan dan ketaatan di hadapannya. Secara tidak langsung ialah dengan mentaatinya dalam segala arahan yang diberikan -selagi tidak menyanggahi Syara’- walaupun tanpa dilakukan ikrar dihadapannya.

Seorang muslim adalah individu yang sentiasa diikat dengan bai’ah. Sabda Rasulullah;

من خلع يداً من طاعة لقي اللَّه يوم القيامة ولا حجة له، ومن مات وليس في عنقه بيعة مات ميتةً جاهليةً

“Sesiapa yang merungkai ketaatannya (dari pemimpin yang adil), ia akan bertemu Allah di hari kiamat dengan tanpa hujjah baginya. Sesiapa yang mati dalam keadaan tiada bai’ah di tengkuknya, ia mati sebagai mati jahiliah”. (Riwayat Imam Muslim dari Ibnu ‘Umar r.a.)

Pada zaman Rasulullah s.a.w., sekelian para sahabat memberi bai’ah mereka kepada Rasulullah s.a.w.. Adapun selepas zaman baginda, umat Islam wajib memberi bai’ah kepada pemimpin-pemimpin yang dilantik di kalangan mereka. Sabda Rasulullah s.a.w.;

إذا خرج ثلاثة في سفر فليؤمروا أحدهم

“Apabila keluar tiga orang dalam satu perjalanan, maka hendaklah mereka mengangkat salah seorang sebagai pemimpin”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)

Jika dalam urusan duniawi (iaitu urusan musafir) Rasulullah mengarahkan supaya dilantik pemimpin, maka lebih-lebih lagi dalam urusan agama dan perjuangan Islam. Institusi kepimpinan amat penting kepada perjuangan dan gerakan Islam. Kerana itu, menjadi kewajipan ke atas setiap ahli gerakan Islam untuk memberi bai’ah yang tidak berbelah bagi kepada pemimpin jamaah.

Jika dilihat kepada bai’ah yang diambil oleh Rasulullah dari golongan Ansar (melalui bai’atul Aqabah pertama dan kedua), ada dua bentuk bai’ah yang mesti menjadi kelaziman setiap ahli harakah iaitu;

1. Bai’ah untuk sentiasa berpegang-teguh dan beramal dengan setiap ajaran Islam,

2. Bai’ah untuk bersungguh-sungguh memperjuang dan mempertahankan Islam hingga ke titisan darah yang terakhir.

Menurut riwayat Ubadah bin Shamit, salah seorang sahabat yang menyertai bai’atul Aqabah pertama pada tahun ke 12 nubuwwah; dalam bai’ah tersebut Rasulullah s.a.w. mengambil bai’ah dari Ansar dalam perkara berikut;

1.Tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu apa pun.
2.Tidak mencuri, berzina dan membunuh anak.
3.Tidak mengadakan dakwaan palsu di tengah-tengah masyarakat.
4.Tidak mengengkari Rasullullah di dalam perkara makruf.

Jelas bahawa bai’ah tersebut hanya menyentuh aspek pengamalan dengan ajaran Islam, tanpa melibatkan perjuangan atau peperangan. Namun dalam bai’ah berikutnya iaitu bai’atul ‘Aqabah kedua pada tahun ke 13 nubuwwah, kandungan bai’ah ialah;

1. Dengar dan patuh kepada arahan nabi s.a.w. sama ada diwaktu rajin atau malas.
2. Memberi nafkah (kepada perjuangan) sama ada di waktu senang atau susah.
3. Melaksanakan amar makruf dan nahi munkar.
4. Bangun menegakkan agama Allah tanpa menghirau celaan sesiapa pun.
5. Memberi pertolongan kepada Nabi s.a.w. apabila baginda sampai di Madinah dan mempertahannya sama seperti mempertahankan diri sendiri, isteri dan anak-pinak.

(Riwayat dari Jabir r.a.).

Nyatalah kepada kita bahawa tanggungjawab seorang muslim bukan hanya beramal dengan Islam, tetapi juga mempertahan dan mengangkat martabat Islam dengan segala pengorbanan yang ada. Jadi, bai’ahnya terhadap harakah juga semestinya merangkumi dua hal tersebut

ASAS PENGUBATAN DARUSSYIFA'


Perkembangan ilmu pengetahuan akan terus maju menurut perkembangan daya fikir manusia. Di Malaysia, amalan merawat pesakit dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, hadis, contoh sunnah Rasulullah, doa-doa yang digunakan oleh para anbiya' adalah merupakan satu bidang yang masih agak baru. Usaha untuk mengatur segala bentuk rawatan pesakit melalui cara ini dalam satu kaedah yang jelas, teratur dan dapat dimanfaatkan boleh dikatakan amat berkurangan biar pun memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat ramai para pengamal perubatan Melayu tradisional yang menyumbangkan tenaga mereka dengan menggunakan kaedah ini.

Perlu dijelaskan bahawa sesungguhnya Darussyifa' hanya menggunakan dengan cara yang teratur dan tersusun ayat-ayat al-Quran, amalan sunnah Rasulullah dan kaedah-kaedah lain yang selaras dengan syarak dalam tujuan mencari ikhtiar untuk merawat pesakit sama ada sakit fizikal atau spiritual.

Rawatan yang diamalkan oleh Darussyifa' ini tidak boleh dimasukkan dalam kategori perubatan Melayu tradisional kerana rangkaian al-Quran yang dibaca itu jelas ayat-ayatnya, hadis-hadis dan sunnah Rasulullah itu nyata sumbernya manakala doa-doa yang dipohon juga jelas maksud dan susunan katanya. Memang terdapat beberapa rangkaian kata Melayu yang digunakan dalam kaedah ini, tetapi penggunaan rangkaian kata yang dapat difahami maknanya serta tidak mengandungi ungkapan kata yang menyalahi hukum yang diharamkan Allah di samping tidak mengandungi kata-kata yang membawa syirik. Semua yang diamalkan ini adalan tidak bersalahan dengan ajaran Islam.

Pada hakikatnya, usaha membongkar kandungan al-Quran dan sunnah Rasulullah untuk tujuan rawatan penyakit, adalah masih di peringkat awal. la memerlukan keikhlasan, minat, pengamatan yang serius serta ketabahan yang berterusan. Kejayaan usaha seumpama ini adalah bergantung kepada usaha-usaha yang dijelaskan diatas.

Pendedahan kandungan al-Quran, contoh-contoh sunnah Rasulullah dan doa-doa yang dijelaskan yang berkaitan dengan sumber wahyu dan sejarah Islam boleh memberi satu kesedaran yang agong kepada umat Islam untuk mengkagumi dan menghargai betapa besamya peranan Kitab Allah yang selama ini menjadi panduan dalam kehidupan seseorang. Kesedaran ini boleh menjadikan seseorang itu menyedari keesaan Allah. Semuanya ini adalah di antara jalan utama dalam tujuan memperkuatkan iman seseorang terhadap Allah s.w.t.

Pengubatan dengan menggunakan ayat-ayat seperti yang dijelaskan di atas bukanlah merupakan satu amalan baru di kalangan umat Islam biarpun ramai orang yang masih meragui kesahihannya. Keraguan itu timbul ialah kerana kurangnya pemahaman terhadap sejarah ilmu perubatan dan al-Quran sendiri. Sebagai contoh, al-Quran mengulangi beberapa kali ungkapan yang membawa makna kesembuhan penyakit. Antaranya (Surah al-Isra':82).

Mahfumnya: Dan Kami turunkan di atas (isi) al-Quran, sesuatu yang boleh menyembuhkan dan rahmat untuk orang-orang yang beriman.

Di dalam al-Quran terdapat enam ayat yang menyentuh penggunaan perkataan yang membawa makna kesembuhan. Ayat-ayat itu dikenali sebagai " Ayat Ash-Syifa' ". (Sila rujuk al-Quran, At-Taubah:14, Yunus:57, Al-Nahl:69, Al-Israa':82, Asy-Syu'araa':80 dan Fussilat:44)

Sehubungan dengan ini pernah berlaku suatu kisah, di mana seorang Sahabat Nabi mengalami sejenis penyakit yang sudah puas diubati dengan berbagai cara perubatan, tetapi tidak juga sembuh. Pada suatu hari pesakit itu telah diziarahi oleh seorang temannya. Pesakit tersebut mengadu halnya yang telah puas berikhtiar tetapi masih belum disembuhkan Allah. Teman tersebut bertanya sama ada dia telah membaca " Ayat Ash-Syifa' " . Pesakit itu mengatakan belum, lalu teman tadi pun membaca " Ayat Ash-Syifa' " yang akhirnya dengan izin Allah s.w.t. ia pun sembuh.

Ulama-ulama terdahulu telah banyak membicarakan tentang rawatan secara ini dan mengumpulkannya dalam beberapa buah buku yang terkenal antaranya: At-Tibbu 'n-Nabawi, At-Tibb wa 'r-Rahmah, Zadu 'l Ma'ad fi Hadyi Khairi 'l-'Ibad dan lain-lain lagi.

Tidak dapat dinafikan bahawa perubatan Alupathy (perubatan moden seperti di hospital) buat masa kini merupakan suatu pilihan utama manusia moden untuk ikhtiar menyembuhkan penyakit. Hospital-hospital dan klinik-klinik yang dilengkapkan dengan segala kemudahan dan kepakaran menjadikan tempat-tempat ini tumpuan utama. Akan tetapi suatu hal yang amat nyata bahawa tidak semua penyakit dapat disembuhkan dengan cara tersebut. Masih banyak penyakit yang masih belum dapat ditemui ubatnya oleh pakar-pakar perubatan moden.

Apabila sesuatu penyakit tidak dapat disembuhkan dengan cara moden, pesakit akan berusaha mencari jalan lain untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapi. Oleh itu peluang perlu disediakan agar pesakit-pesakit itu tidak putus asa dalam usaha mencari kesembuhan.

Kaedah pengubatan yang diusahakan di Darussyifa' ini tidak sekali-kali bermaksud untuk mengambil alih tugas yang sedang dilaksanakan di hospital-hospital atau di klinik-klinik. la adalah merupakan satu rawatan alternatif untuk meneruskan ikhtiar setelah pesakit-pesakit berusaha melalui cara perubatan tersebut, tetapi belum lagi disembuhkan oleh Allah s.w.t.

Sekiranya sesuatu penyakit terjadi, kita memang menasihati pesakit-pesakit supaya mengutamakan rawatan biasa, iaitu di hospital-hospital atau di klinik-klinik. Setelah rawatan itu diusahakan tetapi tidak juga berjaya, maka barulah pengubatan cara ini perlu dikhtiarkan.

Apa yang diusahakan di Darussyifa' ini adalah sebahagian kecil dari ilmu yang sangat luas yang telah lama diamalkan oleh ulama-ulama Islam terdahulu.

Hanya Allah s.w.t. sahaja yang maha sempurna lagi maha benar manakala yang salah dan silap itu adalah dari insan yang bersifat lemah.

Semoga Allah mengampuni kesalahan dan kekhilafan yang tidak disengajakan. Kepada Allah kita memohon rahmat dan berkat semoga Allah sentiasa mengabulkan usaha kita semua dan menjadikan amalan kita yang tidak seberapa ini sebagai amalan yang soleh.

Sekian.

Wassalam.

Salam hormat dari saya,

Dato' Dr. Haron Din

Sejarah Darussyifa

'Fakta:

i. 17-April-1988: Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam (Darussyifa') ditubuhkan secara rasmi.
ii. 2-Januari-1990: Majlis pecah tanah pembinaan bangunan Darussyifa'.
iii. 17-Mac-1991: Bangunan Darussyifa' mula digunakan.
iv. 1-September-1991: Perasmian Bangunan telah dilaksanakan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Azman Hashim.

Darussyifa' merupakan sebuah klinik rawatan yang terkenal di kalangan penduduk Bangi dan masyarakat luar terutamanya orang Islam ia menjadi satu altematif kepada orang ramai dalam usaha mencari kesembuhan penyakit selepas mendapatkan rawatan dari klinik dan hospital. kebanyakan pesakit yang datang bukan hanya mengalami penyakit fizikal tetapi juga melibatkan penyakit rohani seperti terkena ganguan makhluk halus dan seumpamanya. Dengan kaedah yang diamalkan oleh Darussyifa' iaitu menggunakan ayat-ayat al-Qur'an, Hadith dan Doa-doa menambahkan lagi keyakinan orang ramai terhadapnya.


Darussyifa' merupakan nama sebuah bangunan yang digunakan untuk kegiatan pengubatan Islam. Perkataan Darussyifa' adalah gabungan daripada perkataan dar (rumah) dan al-Syifa' (kesembuhan) yang bererti Klinik Rawatan. Idea penubuhan ini lahir daripada seorang pensyarah dan juga seorang ulama yang terkenal di tanah air. Beliau yang dimaksudkan ialah Yang Berbahagia Dato' Dr. Haron bin Din lebih dikenali dengan pangillan Ustaz Haron Din. Ustaz Haron Din bergiat dalam bidang rawatan dengan menggunakan doa-doa yang terdiri daripada ayat-ayat al-Qur'an, hadith serta sunnah Rasulullah s.a.w.

Ustaz Haron Din telah lama menceburkan diri dalam bidang rawatan tetapi tidak secara teratur dan serius berbanding dengan kegiatannya ketika di Kajang dan Bandar Baru Bangi. Selain memberi rawatan, Ustaz Haron Din juga merupakan tempat rujukan untuk mendapat khidmat nasihat oleh orangramai yang menghadapi pelbagai masalah.

Kegiatan yang dilakukan oleh Ustaz Haron Din telah menarik minat sesetengah golongan untuk belajar daripadanya. pada akhir tahun 1977, beberapa orang pelajar dari Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia telah datang menemui beliau meminta agar mereka ditunjuk ajar serba sedikit Ilmu Pengubatan Islam. Setelah berlaku beberapa pertemuan dan mereka memperlihatkan kesungguhan, maka bemulalah beberapa siri pembelajaran Ilmu Pengubatan secara kecil-kecilan. Kegiatan tersebut diadakan di tempat kediaman Ustaz Haron Din sendiri di Taman Bangi Jalan Reko, Kajang. Pertemuan-pertemuan ini terus berlaku dalam keadaan yang kurang tersusun. Setelah berpindah ke Bandar Baru Bangi (kediaman sekarang di No. 3, jalan 1/7D) bilangan pelajar yang menghadiri kelas semakin bertambah.

Pelajar yang terawal ialah Ustaz Abdul Rahman Mustafa (1977-78), kemudian diikuti oleh empat orang pelajar lain iaitu Ustaz Ali Haji Ahmad, Ustaz Abdul Rahim Abdul Ghafur, Ustaz Wan Ismail Wan Ibrahim dan Ustaz Muhammad Shafie Yusof. Sejak pengambilan mereka, Ustaz Haron Din mula memberi rawatan kepada masyarakat umum di rumahnya secara terbuka pada setiap hari Selasa bermula selepas solat Zohor hingga hampir waktu Maghrib. Kuliah-kuliah yang dijalankan lebih tersusun apabila kumpulan ketiga (1979-80) bejumlah 32 orang diambil.

Pelajar-pelajar ini telah mengambil kata sepakat agar kuliah-kuliah tersebut tidak terus menerus dilakukan di rumah Ustaz Haron Din tetapi dilakukan di rumah-rumah pelajar menurut giliran. Atur cara majlis bermula dengan menunaikan Sembahyang Maghrib berjamaah kemudian wirid, sembahyang hajat, membaca yaasin, tahlil dan jamuan. kuliah-kuliah disampaikan selepas sembahyang Isyak. kegiatan ini terus bejalan hingga
pengambilan kumpulan yang keempat (1985-86).

Kumpulan tersebut terdiri daripada 63 orang pelajar baru. Klinik-klinik dibuka seperti biasa dan bilangan pesakit semakin betambah. Ini menyebabkan ruang tamu terpaksa dibesarkan untuk menampung kehadiran pesakit dan juga pelajar. Kuliah yang diadakan dari rumah ke rumah kemudian dihentikan. Kuliah hanya dijalankan di rumah Ustaz Haron Din ataupun di rumah-rumah yang mengadakan majlis tertentu. Majlis tersebut dihadiri oleh kebanyakan pelajar yang terlibat dalam pengubatan yang dijalankan.
Kuliah-kuliah yang biasanya dijalankan setiap Selasa malam Rabu akhirnya ditukar ke Isnin malam Selasa. Ustaz Haron Din

Bilangan pelajar semakin bertambah kerana gabungan di antara pelajar baru dan lama (yang belum diijazahkan) yang hadir bersama. Setiap pelajar perlu datang sekali dalam masa dua minggu. Keadaan tersebut berlaku kerana terdapat pelajar senior yang datang ketika kuliah disampaikan kepada pelajar baru.

Ssatu pertemuan diadakan di rumah Tuan Haji Ismail bin Haji Ali, beralamat di No. 26, Jalan Daud, Kampung Baru Kuala Lumpur. Majlis zikir diadakan diikuti dengan kuliah. Kehadiran pelajar tetap ramai hingga menyebabkan ruang tamu rumah menjadi sempit. Keadaan ini yang mencetuskan ilham untuk membina bangunan baru bagi menampung pelajar yang semakin ramai.

Selepas itu mesyuarat jawatankuasa penubuhan bangunan rawatan Islam yang pertama telah diadakan di rumah Tuan Haji Abdul Rahman Haji Ahmad (Pegawai Daerah Seremban) pada 17 Ogos 1986. Pengerusi memaklumkan bahawa tujuan mesyuarat tersebut diadakan ialah untuk membincangkan tentang pembinaan sebuah bangunan rawatan Islam. Hasil daripada mesyuarat tersebut satu jawatankuasa tetap penubuhan bangunan pusat rawatan Islam telah ditubuhkan. la terdiri daripada;

Pengerusi : Haji Abdul Rahman Haji Ahmad
Naib Pengerusi : Y. Bhg. Datuk Abdul Rashid Mahmud
SU Kehormat : En. Mohd Salleh Haji Kassim
Pen. Setiausaha : Haji Mohd Sharif Haji Ibrahim
Bendahari : En. Ahmad Mohd Yusof
Urusetia : En. Minhat Haji Budin A. Bahudin

Selain nama di atas, pengerusi-pengerusi jawatankuasa kecil juga dilantik untuk menguruskan hal tertentu iaitu En. Ahmad Mohd Yusof (kewangan), Haji Mohd Sharif Haji Ibrahim (tanah) dan En. Mohamad Ahmad (pelan). Beliau telah menyediakan pelan bangunan dua tingkat yang dianggarkan menelan belanja lebih kurang RM 200,000.00 (Dua ratus ribu ringgit).

Mesyuarat pada 26 Oktober 1986 di rumah Tuan Haji Jaafar Sidek dimaklumkan bahawa wang sebanyak RM3000.00 telah terkumpul sejak kutipan derma dilancarkan. Sidang mesyuarat juga diberitahu bahawa ada beberapa orang dermawan telah bejanji akan memberi derma berjumlah RM70,000.00. Selain itu, tanah untuk tapak bangunan telah diperolehi iaitu bersebelahan dengan rumah Ustaz Haron Din yang berharga RM16.00 sekaki persegi dengan keluasan 12,000 kaki persegi. Ketika itu harga tersebut masih dalam rundingan dengan tuan tanah.

Ahli jawatankuasa bersetuju membayar pendahuluan sebanyak 10% daripada harga tanah tersebut. Tuan Haji Jaafar juga memberitahu bahawa beliau mempunyai dua orang rakan yang berhasrat ingin memberi khidmat percuma kepada penubuhan bangunan yang dirancangkan dalam bidang rekabentuk atau pelan dan kejuruteraan. Mereka ialah Tuan Haji Shamsudin Ahmad dan Tuan Haji Johari Jaalam. Ahli mesyuarat bersetuju melantik mereka untuk menganggotai jawatankuasa kecil pelan. Pelan bangunan yang siap dilukis oleh En. Mohamad Ahmad telah ditunjukkan kepada Tuan Haji Shamsudin Ahmad. Beliau bercadang untuk membuat satu pelan lain apabila pelan yang disediakan sebelum ini tidak dapat diterima kerana pembinaan bangunannya menelan belanja lebih daripada setengah juta ringgit. Dalam masa yang sama Ustaz Haron Din mendapat galakan daripada teman-teman agar meneruskan rancangan membina bangunan mengikut pelan baru.

Bemula dari tarikh tersebut, usaha mencari wang dimulakan dengan mengirimkan baucar-baucar dan surat-surat yang ditandatangani oleh Ustaz Haron Din, merayu sumbangan daripada orang-orang tertentu. Hasil daripada usaha itu pada peringkat awalnya agak mengecewakan kerana pulangannya terlalu sedikit, sedangkan wang yang diperlukan lebih daripada setengah juta.

Pada hari Ahad 17 April 1988, bertempat di rumah Ustaz Haron Din satu mesyuarat penubuhan persatuan telah diadakan. Seramai 88 orang telah hadir. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Datuk Abdul Rashid ini telah bersetuju menubuhkan persatuan yang diberi nama Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam”.

Dalam mesyuarat pada 12 Disember 1988, dimaklumkan bahawa tuan kepada tanah yang terletak bersebelahan dengan rumah Ustaz Haron Din telah bersetuju menjual tanah tersebut dengan harga RM76,776.00. Sebagai deposit wang sebanyak RM30,000.00 telah dibayar kepada tuan tanah.Wang tersebut hasil daripada jualan buku Rawatan Pesakit Menurut al-Qur'an dan al-Sunnah.Tuan Haji Ismail bin Haji Abdullah telah memberi sumbangan sebanyak RM 28,000.00. Ahli mesyuarat juga diberitahu bahawa urusetia persatuan telah mengajukan surat permohonan pendaftaran pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan.Mesyuarat Jawatankuasa Persatuan yang diadakan pada 26 Mei 1989 telah dimaklumkan bahawa mesyuarat agung penubuhan Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam telah diadakan di rumah Ustaz Haron Din bermula jam 9.15 malam.

Selaras dengan perkara 15.4 Undang-undang Persatuan ahli mesyuarat telah bersetuju memilih Tuan Haji Abdul Rahman bin Haji Ahmad sebagai pengerusi, Haji Mohd Sharif bin Haji Ibrahim sebagai setiausaha dan En Mohamad Amin bin Hassan sebagai bendahari. Mesyuarat juga bersetuju mengagihkan tugas bagi menjalankan kegiatan persatuan kepada Jawatankuasa-jawatankuasa Kecil (JKK). Pengerusi untuk setiap jawatankuasa kecil tersebut adalah seperti berikut;

Pembangunan dan Harta : Datuk Haji Abdul Rashid Mahmud
Kewangan : En. Mohamad Amin Hassan
Pengubatan dan Pentadbiran Klinik : Haji Mohd Sharif Haji Ibrahim
Kebajikan dan Sosial : Haji Abdul Rahman Mustapha
Latihan, Kursus dan Seminar : Cikgu Mohd Nasir Jali


Anggota lain juga dilantik untuk membantu hal-hal berikut:

Kebajikan dan Sosial : Haji Ali Haji Ahmad
Penolong Setiausaha : En. Minhat Haji Budin A. Bahudin
Latihan : Dr. Mohd Omar Haji Salleh
Ahli mesyuarat bersetuju membina bangunan tiga tingkat, bukan dua tingkat seperti yang dicadangkan pada peringkat awal. Ketika mesyuarat diadakan, persatuan mempunyai wang terkumpul sebanyak RM45,000.00 hasil daripada jualan buku perubatan, derma am dan derma perseorangan. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor ketika itu juga menyuarakan hasratnya untuk memberi bantuan kepada pembinaan Bangunan Pusat Perubatan.

Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Pembangunan dan Harta yang diadakan pada 6 Jun 1989 di rumah Ustaz Haron Din merupakan mesyuarat yang pertama setelah Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam didaftarkan. Usaha sedang dilakukan untuk menukar hak milik tanah daripada penjual kepada persatuan oleh Peguam Fadi. Sidang mesyuarat juga diberitahu bahawa bangunan yang dicadangkan itu dianggar menelan belanja sebanyak RM560,000.00 dengan pecahan belanja seperti berikut :

RM 400,000.00 kos pembinaan bangunan
RM 80,000.00 harga tanah
RM 80,000.00 kelengkapan


Ketika ini masalah yang dihadapi oleh jawatankuasa persatuan ialah sumber kewangan yang tidak mencukupi. Setakat ini, usaha memungut derma tidak dijalankan secara terbuka tetapi ada juga individu yang sanggup menyumbangkan derma untuk projek ini. Biarpun jumlah wang terkumpul ketika itu sedikit, namun harapan untuk membina pusat rawatan tersebut tetap ada. Bagi Ustaz Haron Din rancangan ini bermula dari hasrat murni semata-mata kerana Allah s.w.t. Oleh itu ia mesti diteruskan kerana tugas manusia ialah berusaha dan merancang. Kebimbangan tetap dirasakan lebih-lebih lagi apabila tarikh memulakan kerja-kerja pembinaan semakin hampir.

Tidak berapa lama selepas itu, salah seorang daripada ahli usrah memberitahu bahawa Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Azman Hashim ingin menemui Ustaz Haron Din untuk berbincang tentang pembinaan pusat rawatan Islam ini. Satu pertemuan diadakan di pejabat Tan Sri pada jam 6 petang keesokan harinya. Dalam pertemuan ringkas itu Tan Sri telah memberi jaminan kepada Ustaz Haron Din untuk memberi sumbangan bagi menyiapkan bangunan tersebut. Dengan bantuan kewangan yang diberikan oleh Tan Sri maka hasrat untuk melihat bangunan ini didirikan menjadi kenyataan.

Mesyuarat Jawatankuasa persatuan yang diadakan pada 20 Jun 1989 bertempat di no. 3488, Jalan Ampang Hilir 5, Kuala Lumpur yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Abdul Rahman Haji Ahmad telah dimaklumkan bahawa JKK Pengubatan dan Pentadbiran Klinik telah mengadakan mesyuarat dan membincangkan tentang sistem giliran bagi rawatan di klinik-klinik iaitu di Bangi dan Kampung Baru. Hasil daripada perbincangan tersebut, mereka memutuskan bahawa Ustaz Haron Din hanya merawat seramai 130 orang pesakit dalam satu masa, manakala yang selebihnya akan dirawat oleh pembantu-pembantunya.

Mesyuarat yang diadakan pada 29 Ogos 1989 pula dimaklumkan bahawa pelan bangunan persatuan telah siap. Emkay Associates Sdn. Bhd. menawarkan khidmat untuk membina bangunan tersebut dengan harga kos tanpa mengambil keuntungan daripadanya. Pihak yang berkaitan telah menjalankan kerja-kerja persiapan awal seperti menyediakan pelan disamping menguruskan perkara pindah milik tanah.

Satu pejumpaan telah diadakan pada 19 Disember 1989. Di antara mereka yang hadir ialah ahli jawatankuasa pembinaan juga sebagai wakil daripada Tuan Haji Mustafa Kamal (Tuan Haji Abdullah Mardi dan En. Saflan Mohd Ali), En. Shamsudin Ahmad, En. Omar Ahmad, En. Nordin dan lain-lain.Mesyuarat bersetuju agar kerja pembinaan dimulakan pada 1 Februari 1990.

Satu upacara majlis doa selamat diadakan di tapak bangunan pada 2 Januari 1990 jam 6:30 petang, Ahli mesyuarat juga bersetuju dengan kos awal pembinaan bangunan iaitu sebanyak RM354,258.85. Bayaran kepada kontraktor akan dibuat dengan lima kali pembayaran manakala pembayaran pelan bangunan yang diluluskan ialah RM2,791.00. Selain itu papan tanda pembinaan juga didirikan seperti yang dicadangkan oleh pihak kontraktor.

Pada 11 Februari 1990 ahli mesyuarat telah berbincang dan bersetuju menerirna Tetuan Emkay Associates Sdn. Bhd. sebagai pemborong yang akan membina bangunan persatuan dengan kos bemilal RM354,258.85 dalam tempoh 12 bulan. Tarikh mobilisasi pula berkuatkuasa mulai 15 Januari 1990. Penyerahan tapak kepada kontraktor dilakukan pada 2 Februari 1990. Selain itu sumber kewangan juga datang daripada derma yang diterima setiap minggu di klinik Bangi dan Kampung Baru sebanyak RM200. Mesyuarat yang diadakan pada 26 Februari 1990 telah melantik seorang ahli persatuan iaitu Haji Ishak Haji Arshad untuk mewakili kepentingan persatuan dalam penyeliaan projek pembinaan. Mesyuarat juga meminta bendahari menyemak dan menyediakan senarai edaran buku yang bayarannya belum diterima. Mereka yang masih berhutang diminta menjelaskannya dengan segera. Setiap ahli juga diminta untuk mengambil 20 buah buku "Rawatan Gangguan Makhluk Halus Menurut al-Qur'an dan al-Sunnah" untuk diedarkan. Dalam masa yang sama, hasrat untuk mendokumentasikan sejarah persatuan ini ditimbulkan oleh JKK Penerbitan.

Mesyuarat jawatankuasa yang diadakan pada 3 April 1990 dimaklumkan tentang perlu adanya sokongan moral untuk penubuhan klinik cawangan di Jitra Kedah begitu juga dengan penubuhan Klinik Perubatan Islam di Banting. Mesyuarat juga diberitahu bahawa derma sebanyak RM100,000.00 telah diterima daripada Menteri Besar Selangor. Pada 12 November 1990 kerja pembinaan telah siap sebanyak 50%. Tuntutan kemajuan ketiga sebanyak RM 79,000.00 telah dijelaskan.

Bersempena dengan perasmian bangunan persatuan yang dicadangkan, satu risalah tentang penubuhan hasil tulisan Dr. Amran Kasimin diterbitkan. Ahli mesyuarat telah bersetuju mengeluarkan zakat pada tahun 1990 sebanyak RM 10,000 yang diberi kepada Sekolah Tasdikiah Songkhla Hatyai, Songkhla Thailand.

Bangunan Darussyifa' mula digunakan pada hari Ahad 17 Mac 1991 bersamaan dengan 1 Ramadan 1411H. Anggota persatuan telah bersembahyang Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Haron Din. Upacara majlis diteruskan dengan solat tarawih. Bangunan ini terus digunakan untuk rawatan dan kuliah pengubatan. Perasmian Bangunan telah dilaksanakan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Azman Hashim pada 1 September 1991.








PESANAN TUAN GURU KEPADA PERAWAT DARUSSYIFA'

Pra Syarat Sebagai Perawat

(Pesanan ini disampaikan oleh Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din pada 7-March-2005)

1. Hendaklah memiliki 6 sifat seperti yang disebut dalam Syair Imam Shafie iaitu;

i.
Kecerdikan - Boleh memahami ilmu yang dipelajari, boleh menghafal doa-doa dan bukanlah seorang yang benak.
ii. Sensitiviti kepada Ilmu - Suka dan berminat mempelajari ilmu dan boleh memelihara (menyimpan) ilmu dan menjaga amanah ilmu dengan baik.
iii. Mempunyai Pendapatan - Mempunyai wang, harta dan bukan orang yang miskin.
iv. Mempunyai kesungguhan - bersungguh-sunguh dan berterusan dalam belajar ilmu pengubatan bukan sambil lewa sahaja.
v. Rakan seperguruan adalah saudara kita - Jangan ada cemburu-mencemburui, benci membenci sebaliknya tanamkanlah sifat hormat-menghormati dan kasih sayang.
vi. Memerlukan masa - iaitu hendaklah sentiasa bersabar dalam menuntut ilmu dan berubat kerana masa penantian yang panjang.

2. Hendaklah memberhentikan segala bentuk amalan pengubatan yang bercanggah dengan syariat Islam seperti penggunaaan tangkal (walaupun tangkal itu menggunakan ayat-ayat al-Quran), ilmu pengasih, ilmu penunduk dan seumpamanya.

3. Jangan melibatkan diri dengan Ilmu Tariqat atau kebatinan yang ada keraguan terhadapnya seperti Ahmadiah, Martabat-7, Qadiani dan seumpamanya, kalau dah sertai hendaklah ditinggalkan dengan segera.

4. Hendaklan meletakkan diri kita mampu dan boleh untuk berhadapan dengan segala bentuk ujian dan cabaran.

Syarat-syarat Utama Menjadi Perawat yang Baik

(Pesanan ini disampaikan oleh Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din pada 7-March-2005)

1. Iltizam dengan Ilmu Pengubatan yang dipelajari – iaitu dengan sentiasa beramal dan berdamping dengannya setiap hari.

2. Mempraktikkan ilmu pengubatan yang telah dipelajari, selalu memberikan khidmat sukarela di klinik-klinik darussyifa' dengan memberi rawatan kepada pesakit yang memerlukan bantuan.

3. Jangan campur adukkan ilmu yang diharuskan dengan ilmu yang dilarang iaitu jangan berbohong atau menyebutkan perkara-perkara yang tidak betul ketika merawat umpamanya mengatakan penyakit itu adalah disebabkan sihir atau perbuatan khianat oleh orang tertentu.

4. Ada keyakinan pada diri sendiri dan ikhlas bahawa ilmu yang disampaikan oleh guru adalah benar dan tidak meyalahi syarak.

5. Tidak boleh melangkah larangan atau etika yang telah ditetapkan oleh Darussyifa' contohnya tidak boleh menetapkan bayaran kepada pesakit.

6. Hendaklah setiasa berdisiplin dalam semua hal seperti dalam pengubatan, kehidupan, beribadat, berzikir dan seumpamanya.

7. Bersungguh-sungguh dalam mengubat, berubat dan mencari kesembuhan.

10 Perinsip Asas Rawatan Islam

(Pesanan ini disampaikan oleh Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din pada 7-March-2005)

1. Ada penyakit , ada ubat.

2. Allah yang menjadikan penyakit , Dialah yang menjadikan ubatnya.

3. Kesembuhan bukan milik sesiapa, hanya milik Allah Ta'ala.

4. Manusia boleh berusaha, insya' Allah kalau kena dengan ubatnya, Allah Ta'ala akan sembuhkan.

5. Al-Quran adalah panduan dan penghubung kepada kesembuhan penyakit.

6. Doa'-doa' dan bacaan-bacaan adalah ikhtiar yang menjadi sebab untuk sembuh penyakit.

7. Rawatan dengan bacaan ataupun doa', telah diijmakkan harus oleh para ulama', malah digalakkan dengan tiga syarat;

i. Dengan membaca Al-Quran (dengan bacaan yang betul).
ii. Dengan bacaan-bacaan (selain daripada Al-Quran) yang diketahui maknanya.
iii. Dengan mengiktikadkan bahawa Allah ta'ala sahaja yang akan menyembuhkan.

8. Bahan ubat hendaklah daripada bahan yang halal dan harus (jangan menggunakan bahan-bahan yang haram seperti benda yang najis, tangkal dan seumpamanya)

9. Tidak boleh berputus asa dalam berikhtiar untuk mencari ubat dan kesembuhan.

10. Keyakinan kepada diri sendiri, ubat yang dibuat, doa yang dibaca dan ikhtiar yang betul, pasti Allah Ta'ala akan menyembuhkan.

Pengijazahan

Ini adalah intipati daripada ucapan Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din pada majlis Pengijazahan Pelajar Pengubatan Islam Darussyifa' kumpulan ke-17.

1. Kita semua manusia biasa yang serba kekurangan, kesempurnaan hanya milik Allah SWT, Tuan Guru mempunyai kekurangan begitu juga anak murid mempunyai kekurangan masing-masing. Justeru itu sebagai rakan seperguruan hendaklah saling tampung menampung kelemahan dan kekurangan rakan seperguruan yang lain. Kelemahan rakan jangan sekali-kali dibongkar atau dibesar-besarkan. Kalau rakan tersilap memberi ubat atau rawatan hendaklah kita cuba menutup kesilapan itu dihadapan pesakit dengan cara yang hikmah, jangan sampai mengaibkan rakan.

2. Berlajar ilmu pengubatan perlu mendapatkan ijazah dari guru kerana itu adalah warisan yang diterima oleh Tuan Guru daripada semua gurunya termasuk daripada ayahandanya sendiri. Sebagai mengambil contoh Imam As-Shafie juga ketika berguru dengan Imam Waqi' mendapatkan ijazah daripada gurunya setelah tamat belajar. Ketika Imam As-Shafie belajar dengan Imam Malik, dia tidak dibenarkan memberi fatwa oleh Imam Malik sehingga ia diijazahkan. Justeru itu kesimpulannya tidak cukuplah belajar ilmu pengubatan hanya dengan membaca buku sahaja.

Related Posts with Thumbnails

KAEDAH BERKESAN MENGHAFAL AL-QURAN

About Me

My photo
Bukit Mertajam, Penang, Malaysia

ShoutMix chat widget

Hit Counters

imgTag

Info Perubatan Islam

imgTag

Buku Tuan Guru

imgTag
imgTag

Pautan Darussyifa

Pautan IPGM

Sahabat

iluvislam

Followers